Kira-kira 100 penduduk Kampung Papan, Pandamaran Klang mengadakan bantahan secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam bagi menuntut campur tangan segera kerajaan negeri.
Mereka mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung notis mahkamah yang memaklumkan rumah mereka bakal dirobohkan pada Ahad dan Isnin ini.
Rata-rata penduduk yang mula meneroka kawasan itu sejak 50 tahun lalu terkejut menerima arahan pengusiran yang disifatkan terlalu mengejut dan tidak berperikemanusiaan.