Lazimnya aktiviti mengejutkan seseorang bagi bangun bersahur pada bulan Ramadan hanya diadakan di kampung-kampung pada era sebelum tahun 80-an. Walaupun amalan itu terus ditelan zaman, namun Persatuan Belia Satu Jiwa Satu Suara, Taman Puchong Permai, Selangor cuba mengembalikan tradisi itu.
Pada setiap hujung minggu seawal jam empat pagi sepanjang bulan Ramadan, sekitar 100 anak muda berusia antara 14 hingga 30 tahun bermain kompang dengan menaiki sebuah lori dan selebihnya berrarak menggunakan motosikal sambil melaung sahur dan menyanyi lagu khas.