Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa lucu dengan 'lakonan Hindustan' oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertemu dengan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, Noh turut mempersoalkan kewajaran Mahathir berbuat demikian memandangkan negarawan itu sebelum ini pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai Anwar sehinggakan ketua umum PKR itu dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri serta timbalan presiden UMNO.
"Saya ketawa tengok lakonan. Kita nak tanya Tun Mahathir, yang mana betul kenyataan dia pasal Anwar? Adakah waktu dia jadi perdana menteri dulu sehingga Anwar dipecat atau sekarang?
"Mana satu yang betul? Dulu dia (Mahathir) kata Anwar tak betul sampai dia dipecat. Ni dia nak jadi partner pula.
"Saya ketawa tengok lakonan ni. Ini lakonan hindustan," kata Noh sambil ketawa.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan forum perumahan dan hartanah di Petaling Jaya hari ini.