Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohamad Amin Nordin Abd Aziz mengakui bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual tapak bangunan di Hentian Putra kepada Umno.
Kata Mohamad Amin, bangunan lama itu telah lama dijual kepada Umno dalam lingkungan RM300 juta.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media hari ini.
Pada Selasa lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC berkata, bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia Umno.
Kata beliau, kerja-kerja fizikal dijadual akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran Umno dan menjadi mercu tanda ikonik Kuala Lumpur dengan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.
Dengan pembinaan ibu pejabat baharu itu, Dewan Tun Razak sedia ada akan dijadikan dewan dua tingkat manakala Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail dinaik taraf sebagai pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.
Tema seni bina projek transformasi itu diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak dan lipatan unik pada samping, lok keris serta ukiran hulu keris.