Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak bermaksud menolak Wawasan 2020, sebaliknya bertujuan memastikan negara terus mencapai matlamat dan sasaran dikehendaki rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) sewaktu sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Abd Latiff ingin tahu sama ada masyarakat akan menerima TN50 dan dalam soalan asalnya, beliau meminta kerajaan menyatakan strategi diambil dalam memberi kefahaman berhubung TN50.
TN50, yang digagaskan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt tahun lepas, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Menjelaskan perkara itu, Najib berkata TN50 berbeza daripada Wawasan 2020 kerana ia menggunakan proses 'bottom up' dan bukan 'top down' apabila pandangan melalui wacana, dialog dan medium-medium lain yang diperoleh daripada pelbagai lapisan kaum dan bangsa akan diambil kira untuk merangka TN50.